SEKOLAH WAWASAN




SEKOLAH SATU ALIRAN PUPUK PERPADUAN

Oleh: Robiah Bidin

PENGENALAN
Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini. Gagasan ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, yang bertujuan menggugat kesejahteraan hidup mereka. Gagasan ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua pihak, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.
Konsep 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip. Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.1Malaysia menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.
Namun, selain penerapan konsep gagasan tersebut, pembentukan sekolah satu aliran dikatakan dapat membentuk perpaduan kaum dengan lebih berkesan. Seorang tokoh pendidikan, Prof Datuk Dr Kamaruddin berpendapat sistem pendidikan menggunakan satu bahasa pengantar paling berkesan bagi mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Matlamat ini boleh dicapai dengan berkesan dan lebih cepat jika pendidikan di negara ini menggunakan satu sistem berbanding pelbagai aliran ketika ini. Oleh itu, relevanlah sekiranya sekolah satu aliran atau Sekolah Wawasan diperkenalkan.

SEKOLAH WAWASAN

Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Di bawah konsep ini, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung (link-way).

Konsep Sekolah Wawasan ialah usaha melahirkan anak bangsa Malaysia yang lebih bersifat cintakan negara dengan menyatukan sekolah dalam satu sistem pendidikan yang seragam yang dahulunya terasing antara satu sama lain untuk mewujudkan satu pertembungan etnik dalam satu ruang yang sama. Ini bermaksud penggabungan sekolah berkenaan sudah pasti akan menemukan pelajar kepada satu andaian baru dalam hidup mereka.
TUJUAN DAN MATLAMAT SEKOLAH WAWASAN
1.    Untuk mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa dan latar belakang
2.    Untuk memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran
3.    Untuk melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu
4.    Untuk menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah 
Pada masa ini terdapat 5 buah Kompleks Sekolah Wawasan yang telah beroperasi dengan jayanya iaitu :
·         Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak
·         Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah
·         Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang
·         Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor
·         Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak

SEBALIK TABIR SEKOLAH WAWASAN


Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 merupakan titik hitam dalam sejarah negara. Walaupun kejadian itu sudah lama berlaku, tidak mustahil ia berulang kembali jika kita gagal memanfaatkan masa dan zaman yang sedang diharungi.  Jurang ekonomi antara kaum di Malaysia ketika itu membawa kepada rentetan rusuhan kaum yang menular begitu cepat ke seluruh tanah air. Berlaku penguasaan sumber ekonomi oleh sesetengah kaum hingga menerbitkan rasa tidak puas hati yang ketara di kalangan kaum lain. Akibatnya berlakulah rusuhan kaum yang boleh disifatkan sebagai luahan perasaan penduduk Malaysia pada waktu itu.

Negara kita mengalami kekacauan yang sungguh mengaibkan.  Lantaran peristiwa itu, pemimpin negara diketuk minda mereka untuk memulihkan semula hubungan antara kaum di negara ini.  Kesinambungan usaha itu berlanjutan sehinggalah ke dekat baru ini. Cadangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, untuk membentuk sistem persekolahan yang lebih bersifat kolektif dan berciri keharmonian kaum dianggap langkah bijak.  Sebagai negara yang kian pesat membangun, sudah pasti Malaysia akan mengalami perubahan dalam aspek keperluan negara, khususnya dalam bidang politik, sosial, dan ekonomi.

Pembentukan sistem persekolahan sedemikian adalah veribal kepada pemusatan etnik berjiwa Malaysia. Ini kerana dalam sistem itu bukan saja bangsa Melayu yang akan bersekolah di sekolah berkenaan tetapi akan turut terhimpun pelbagai ras dan agama. Lantaran pertemuan itu, satu wadah pendidikan akan mewujudkan pertembungan budaya dan bangsa.  Menurut konsep yang diluluskan itu, sekolah Wawasan merujuk kepada pengelompokan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah rendah jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil dalam satu kawasan yang sama.

SEKOLAH WAWASAN: LANGKAH MENJAYAKAN INTEGRASI KAUM
 
Konsep Sekolah Wawasan yang diluluskan  oleh kabinet pada tahun 1997 adalah menggabungkan  tiga sekolah berlainan aliran dalam satu kompleks yang mana pelajarnya berkongsi menggunakan kemudahan seperti padang dan kantin bagi membolehkan  mereka berinteraksi serta berkomunikasi di antara satu sama lain. Matlamat Sekolah Wawasan ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan dan perpaduan pelbagai kaum di kalangan para pelajar aliran Sekolah Rendah Kebangsaan dengan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil. 

Walaubagaimanapun, pelaksanaan konsep Sekolah Wawasan ini telah ditentang oleh pertubuhan yang mewakili masyarakat Cina kerana bimbang  sekiranya kewujudan sekolah tersebut akan menjejaskan pentadbiran SRJK Cina dan penggunaan bahasa ibunda di kalangan pelajar daripada aliran berkenaan. Secara tidak langsung hal ini akan mengganggu, membantut dan menjejaskan perkembangan serta kewujudan SRJK
Justeru, sebuah badan bertindak yang dikatakan mendapat sokongan lebih dua ribu buah pertubuhan Cina iaitu rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan  Cina Malaysia (Suqiu) telah membuat desakan kepada pihak kerajaan  pada 20 Disember 2000 supaya membatalkan rancangan Sekolah Wawasan di dalam Tuntutan 17 perkaranya. Malahan, persatuan ini juga telah menuntut banyak lagi perkara yang berbaur perkauman. Manakala parti MCA dan Gerakan pula meminta supaya pihak Kementerian Pendidikan memberikan penjelasan kepada masyarakat Cina berhubung kekeliruan dan kebimbangan yang timbul mengenai perlaksanaan konsep Sekolah Wawasan. 

Kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat Cina bahawa SRJK akan terhapus dan hilang segala ciri-ciri serta identitinya sebenarnya tidak berasas kerana setiap aliran yang bergabung di dalam Sekolah Wawasan   ini masih lagi mengekalkan sistem pembelajaran serta kurikulum sedia ada. Dengan kata lain SRJK Cina, Tamil, dan Kebangsaan akan terus berada  di dalam keadaannya yang asal. Jadi, penempatan  penempatan ketiga-tiga aliran ini di dalam satu kawasan yang sama tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu usaha untuk menghapuskan SRJK. 

Apa yang lebih pentig di sini, penempatan ketiga-tiga aliran sekolah ini dapat dijadikan landasan terbaik untuk mewujudkan integrasi kaum pada peringkat primer lagi. Bak kata pepatah , kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitu juga dengan integrasi kaum dan asimilasi budaya hanya dapat dicapai seandainya usaha memupuk hubungan serta perpaduan kaum itu dimulakan di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dengan membiarkan mereka bergaul, berinteraksi dan bermain bersama-sama.

 Proses integrasi dan asimilasi  seharusnya dibiarkan berlaku secara evolusi serta semulajadi. Sebarang percubaan untuk mewujudkan integrasi dan asimilasi secara paksaan pasti akan menemui kegagalan. Oleh itu konsep Sekolah wawasan merupakan suatu kaedah terbaik bagi merealisasikan integrasi nasional  dan menghapuskan tembok pemisah serta mengurangkan jurang yang wujud di antara pelbagai kaum di negara kita.

Penempatan SRJK mengikut tempatnya menjadi punca polarisasi kaum di negara ini. Pihak penjajah Inggeris wajar dipersalahkan dalam soal ini kerana merekalah yang bertanggungjawab membuat penempatan yang sedemikian rupa melalui dasar “pecah dan perintah” yang dilaksanakannya. Menerusi perlaksanaan konsep Sekolah Wawasan ini, kita berharap  interaksi secara “face to face” yang berlaku di kalangan pelajar dari pelbagai aliran ini  dapat menjadi perintis ke arah melahirkan sebuah bangsa Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya. Masyarakat Cina dan India tidak seharusnya berasa takut dengan perlaksanaan Sekolah Wawasan ini kerana hal ini tidak menjejaskan penggunaan dan penguasaan  bahasa ibunda pelajar – pelajar SRJK. 

Ketegangan hubungan kaum dan masalah yang berkaitan dengan etnik di negara kita sebenarnya berpunca daripada sikap prejudis serta perasaan curiga lantaran kurangnya interaksi dan hubungan yang terjalin di antara mereka. Sebarang usaha ke arah integrasi nasional dan perpaduan kaum tidak boleh dilihat sebagai percubaan untuk membunuh atau menghapuskan budaya, bangsa, dan identiti sesuatu kaum. Dalam hal ini semua pihak harus meletakkan kepentingan nasional  dan negara pada kedudukan yang paling utama daripada kepentingan peribadi atau kaum masing-masing. Ini dapat dilakukan dengan memberikan sokongan dan dukungan kepada usaha-usaha yang dapat memupuk dan mengukuhkan hubungan kaum yang terdapat di negara kita. 

PENUTUP

Aspek perpaduan kaum perlu diberi perhatian serius dan penekanan yang menyeluruh oleh semua pihak. Generasi awal terutamanya para pelajar sekolah rendah perlu didedahkan betapa pentingnya perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang besifat majmuk ini. Mahu tidak mahu, perkara ini turut melibatkan sistem pendidikan negara kerana melalui pendidikanlah, generasi pelajar dapat membentuk dan mencorakkan masyarakat Malaysia pada masa hadapan. Ianya selaras dengan pepatah Melayu iaitu “ melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka ini perlu dan semestinya didedahkan bahawa perpaduan kaum begitu bermakna dan akibat buruk yang akan timbul daripada sikap curiga-mencurigai di antara mereka. Disamping perlaksanaan slogan “1 Malaysia”, sekiranya kita mahu memupuk perpaduan dengan lebih berkesan dan cepat, sistem pendidikan juga mesti menggunakan satu aliran berbanding pelbagai aliran ketika ini.

Rujukan:

Amir Hasan Dawi, (2002).  Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Tanjung Malim: 
        Thinker's Library Sdn. Bhd.
Azizi Yahaya et. al. Sekolah Wawasan: Sejauhmanakah Mampu Melahirkan Generasi Bersatu Padu di Masa Akan Datang.
Mohd Salleh Lebar, (1998). Sosiologi Sekolah dan Pendidikan. Selangor
        Nurin     Enterprise.
Mohd. Salleh Lebar, (1992). Perubahan Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur : 
        Quantum Books.
Berita Harian, 21hb Dis. 2001. Sekolah Satu Aliran Pupuk Perpaduan.
Utusan Malaysia, 16hb Dis. 2000. Kekeliruan Konsep Sekolah Wawasan
Dewan Masyarakat, Jun 2001. Sekolah Satu Aliran Wajar Dilaksanakan.

Link-link berkaitan: 

 Laporan Mesyuarat. Dewan Rakyat Malaysia. 11 Disember 2000.www.parlimen.gov.my
pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/180-jenis-jenis/1199-sekolah-wawasan.html - 25k - Similar pages





2 comments: