CADANGAN KEBENARAN MEMBAWA TELEFON BIMBIT DAN GAJET KE SEKOLAH
Oleh: Mohd Nasir Yaacob
“Majoriti guru tak
setuju”, “NUTP bantah bawa telefon”, “Teliti kesan pelaksanaan”..
Itu antara beberapa reaksi
daripada pelbagai pihak apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka
Siong mengumumkan Kementerian Pelajaran akan membenarkan pelajar membawa
telefon bimbit dan gajet ke sekolah mulai tahun 2013 dengan beberapa
syarat bagi memastikan ia tidak mengganggu proses pengajaran dan
pembelajaran.
Di Malaysia, penggunaan
telefon bimbit kian meningkat dan mendapat perhatian dalam kalangan generasi
muda terutamanya kepada golongan remaja. Statistik menunjukkan bahawa 20.5
peratus daripada 92.5peratus adalah para remaja yang menggunakan perkhidmatan
telefon bimbit (Suruhanjaya Komunikasidan Multimedia, 2006: 11).
Sebenarnya isu ini bukanlah
baharu kerana pihak Kementerian Pelajaran sendiri pernah membenarkan pelajar
membawa telefon bimbit ke sekolah sebelum ini namun ianya telah ditarik balik
pada tahun 2009 atas beberapa sebab.
Jika dilihat secara
keseluruhan kebenaran untuk pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah
pada tahun 2013 ini akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan
walaupun kebenaran bersyarat akan diberikan untuk menggelakkan kemudahan
teknologi itu mengganggu proses pembelajaran seperti yang dinyatakan oleh
Datuk Dr Wee Ka Siong.
Malah hasil kaji selidik
oleh pihak Kementerian Pelajaran pada tahun 2011 membabitkan kira-kira 2000
responden di seluruh Negara mendapati 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus
pelajar sendiri menolak cadangan untuk membenarkan pelajar membawa telefon
bimbit ke sekolah. Ini dinyatakan oleh Yang Dipertua Majlis Pengetua
Sekolah Menengah (MPSM) Muhammad Khailani Abdul Jalil yang juga merupakan Ahli
Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid. Menurut beliau lagi
berdasarkan pengalaman pihak sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit
ke sekolah walaupun tidak dibenarkan ketika ini.
Yang menjadi persoalan
sekarang adakah wajar kebenaran membawa telefon bimbit ini diberikan semula
kepada pelajar pada tahun 2013?
Mari kita lihat apakah
kebaikan dan keburukan jika kebenaran membawa telefon bimbit dan gajet ini ke
sekolah diteruskan.
Kebaikan:
Melalui penggunaan telefon
bimbit dan gajet Ibu bapa dapat memantau pergerakan dan berhubung dengan anak-anak
dengan lebih muda. Ini terutamanya apabila berlaku kes-kes kecemasan yang
memerlukan tindakan segera. Kecanggihan aplikasi yang terdapat dalam telefon
bimbit dan gajet seperti telefon yang dilengkapi dengan GPS akan
memudahkan ibu bapa menjejaki anak-anak jika berlaku penculikan, ponteng
sekolah dan lain-lain lagi. Menurut Nabil Johari (2007), penggunaan telefon
bimbit memudahkan remaja untuk menghubungi keluarga di mana sahaja mereka
berada.
- ·
Pembelajaran
Interaktif melalui internet.
Penggunaan gajet seperti
iPad akan membolehkan guru menjalankan pembelajaran interaktif melalui
internet. Kebenaran membawa gajet seperti iPad akan membolehkan
pelajar mengakses maklumat daripada internet untuk proses pengajaran dan
pembelajaran. Ini secara tidak langsung akan menggalakan pembelajaran
kendiri dalam diri pelajar.
Keburukan:
- ·
Mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran.
Proses pengajaran dan
pembelajaran dalam kelas pasti akan terganggu jika kebenaran membawa telefon
bimbit dan gajet ke sekolah diteruskan. Jika pelajar menggunakan telefon bimbit
sudah pasti tumpuan tidak dapat diberikan semasa belajar kerana asyik dan leka
dengan telefon bimbit dan juga gajet yang dibawa. Peranan sekolah adalah untuk
memberi input dalam bentuk akademik semaksima mungkin mengikut sukatan yang
telah ditetapkan di samping penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar. Pada
masa sekarang, setiap matapelajaran hanya diperuntukkan selama 30 minit untuk
satu masa. Sekiranya masa yang sedia singkat itu digunakan lagi untuk
memastikan pelajar tidak bersms dan leka dengan gajet mereka, berapa minit lagi
yang tinggal untuk proses pengajaran dan pembelajaran? Pengerusi Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan
berkata pelajar tidak sepatutnya dibenarkan peralatan komunikasi telefon bimbit
ke sekolah kerana ia bukan sahaja menggangu tumpuan mereka kepada pelajaran,
malah akan mewujudkan budaya tunjuk menunjuk dalam kalangan mereka.
- Menambah beban
tugas guru
Di
kebanyakan sekolah, jumlah pelajar di dalam kelas seramai 35 hingga 40 orang.
Jika kita andaikan sahaja separuh daripada jumlah pelajar dalam kelas ini
membawa telefon bimbit ke sekolah dan 25% daripadanya leka dengan gajet
mereka.Cuba bayangkan beban tugas tambahan bagi guru-guru memantau pelajar
selain daripada tugas hakiki yang diamanahkan kepada mereka? Jika berlaku kes
kecurian telefon bimbit dan gajet tersebut guru juga yang terpaksa melakukan
pemeriksaan yang secara tidak langsung menambahkan lagi tugas guru yang sedia
ada.
-
Penyalahgunaan
telefon bimbit dan gajet
Naluri kanak-kanak dan
remaja yang sentiasa ingin tahu boleh menyumbang kepada penyalahgunaan telefon
bimbit di sekolah. Ini termasuklah membuat rakaman dan memuat turun video serta
gambar yang tidak sepatutnya. Menurut Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP), Ismail Nihat, terdapat pandangan mengatakan bahawa pelajar
lebih suka menghabiskan masa dengan permainan dalam telefon bimbit serta
melanggar disiplin seperti mengambil gambar tidak sopan (Azran Jaffar,Berita
Minggu: 22Januari 2006).
- ·
Menambah beban ibu
bapa
Jika cadangan ini
dilaksanakan ramai pelajar kurang mampu pasti akan terasa hati melihat rakan
yang lebih bernasib baik membawa telefon bimbit dan gajet canggih. Ia boleh
menyebabkan pelajar terbabit merajuk atau ‘mengugut’ ibu bapa supaya membelikan
telefon bimbit jika mahu mereka ke sekolah. Bagi yang memiliki telefon bimbit
sudah pasti memerlukan belanja yang lebih untuk menambah nilai telefon bimbit
mereka. Selain daripada itu, ia juga boleh mewujudkan kepada jurang sosial
antara pelajar yang berkemampuan dengan pelajar yang kurang berkemampuan untuk
memiliki peralatan komunikasi tersebut.
Tuntasnya,
kita dapat melihat lebih banyak kesan negatif jika cadangan memberi kebenaran
membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah pada tahun 2013 diteruskan oleh
pihak Kementerian Pelajaran. Kesannya bukan hanya akan dirasai oleh pelajar dan
ibu bapa sebaliknya tempias yang lebih besar pasti akan dirasai oleh guru-guru
dan pihak sekolah sendiri. Seharusnya kajian yang menyeluruh perlu dilakukan
sebelum cadangan ini dilaksanakan.
Link-link
berkaitan:
http://asrafzamani.com/pelajar-dibenarkan-untuk-membawa-telefon-bimbit-dan-gajet-it-ke-sekolah-mulai-2013/
http://www.budakbotak.com/2012/07/pelajar-dibenar-bawa-telefon-bimbit-ke.html#axzz24pSbFM7F
http://www.mazidulakmal.com/2012/07/kebenaran-pelajar-membawa-telefon.html
Rujukan:
Ahmad Puhad Bin Alim &
Nazatul Akma Binti Zakaria,(2008) Persepsi Ibu Bapa Melayu Muslim Bandar
Terhadap Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah
Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia
Haspaizi Mohd Zain, Berita
Harian, 17 Julai 2012
Syuhada Choo Abdulah ,
Berita Harian, 18 Julai 2012
No comments:
Post a Comment