GURU BARU



 GURU BARU ENGGAN KE PEDALAMAN

Oleh: Mohd Nasir Yaacob

‘Adakah anda sanggup ditempatkan ke kawasan pedalaman setelah tamat belajar nanti’?  Jawapannya sudah pasti sanggup. Itu ketika ditemuduga. Namun setelah tamat belajar lain pula jadinya. Itulah senario yang sering berlaku apabila seseorang guru pelatih ditemuduga ketika ingin memohon kursus perguruan. 

Pelbagai alasan dan cara dilakukan bagi mengelakkan daripada ditempatkan di kawasan pedalaman. Menghadapi pelbagai masalah peribadi termasuk berjauhan dengan isteri mahupun suami baru saja dinikahi. Itu antara alasan yang sering diberikan oleh guru-guru baru jika dihantar mengajar di kawasan pedalaman. Ada juga yang memberikan alasan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan serba kekurangan di pedalaman. 

Malah menurut  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)  terdapat guru baru yang sanggup menggunakan saluran tertentu atau orang berpengaruh supaya tidak ditempatkan di kawasan terbabit atau merayu pertukaran. Bahkan ada yang pada hari pertama melaporkan diri sudah ingin membuat pertukaran ke bandar.

Guru baru yang enggan ke kawasan pedalaman ini bukan hanya melibatkan guru dari semenanjung malah juga guru baru yang berasal dari negeri Sabah dan Sarawak sendiri. Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan Guru-Guru Sabah-Sarawak, William Ghani Bina menyatakan isu kekurangan guru di pedalaman Sabah dan Sarawak dijangka terus berlarutan kerana anak watan kedua-dua negeri terbabit sendiri tidak mahu bertugas di situ khususnya selepas tamat pengajian.
Tidak terfikirkah mereka akan kesan daripada tindakan mereka itu? 

Sudah pasti sekolah di kawasan pedalaman akan terus mengalami kekurangan guru yang seterusnya memberikan kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sana. Ini seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran,  bahawa  isu ini bukan isu baru sebaliknya sejak berdekad lalu hingga menyebabkan murid di kawasan itu menjadi mangsa dan tercicir dalam pelajaran kerana kekurangan guru terlatih.

Secara tidak langsung tindakan guru baru yang enggan ke pedalaman ini akan terus meningkatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar di negara kita. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan Guru-Guru Sabah-Sarawak, William Ghani Bina jurang perbezaan tahap pendidikan antara kawasan pedalaman dan bandar di Sabah serta Sarawak masih tinggi, sekali gus memerlukan sokongan semua pihak bagi memperbaikinya.

Oleh itu langkah kerajaan yang  bercadang mewajibkan guru berkhidmat di kawasan pedalaman antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan mereka dilihat sangat wajar. Ini seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PelajaranTan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, cadangan Kementerian Pelajaran ini dilihat wajar dilaksanakan. Seperti kata Timbalan Menterinya, Dr Puad Zarkashi, pihak Kementerian Pelajaran tidak akan menempatkan guru baru di bandar atau berhampiran tempat tinggal seperti sekarang. Mana-mana guru baru yang mengingkari arahan apabila dihantar untuk berkhidmat di kawasan pedalaman akan dikenakan tindakan tegas termasuk disingkir daripada kerjaya perguruan.

Langkah yang diambil oleh kerajaan ini dilihat sangat wajar bagi memastikan matlamat pendidikan negara dapat direalisasikan. Guru baru yang ditempatkan di kawasan pedalaman seharusnya menerimanya sebagai satu cabaran dalam usaha mendidik anak bangsa. Ini seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin yang meminta guru baru mengambil cabaran itu sebagai satu bentuk khidmat negara kerana akan wujud kepincangan dalam sistem pendidikan negara sekiranya semua guru hanya mahu berkhidmat di bandar.

Kerajaan juga telah menawarkan pelbagai kemudahan dan ganjaran kepada guru yang bertugas di kawasan pedalaman. Ini termasuklah dengan pemberian elaun mengikut tahap kesukaran untuk ke sesuatu kawasan tersebut. 

Namun begitu, masih ada guru baru yang teruja apabila ditempatkan di kawasan pedalaman kerana semangat yang tinggi untuk mendidik anak bangsa. Semangat inilah yang harus dicontohi oleh guru-guru pelatih yang baru menamatkan pengajian. Jemien (1993) menyatakan bahawa guru-guru bersikap positif untuk berkhidmat di Sarawak. Ini kerana guru-guru merasakan tugas tersebut adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan baik dan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh faktor kepentingan diri yang tinggi.

Guru baru yang ditempatkan di kawasan pedalaman sudah pasti akan dapat merasai pengalaman bekerja sebagai pendidik yang kadang kala memerlukan kesabaran berikutan kesukaran hidup di kawasan itu. 

Guru sebagai penjana modal insan yang akan menggerakkan kemajuan negara pada masa hadapan seharusnya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran sebagai pendidik. Oleh itu seharusnya seseorang guru itu bersedia untuk ditempatkan di mana sahaja terutamanya kawasan pedalaman kerana anak-anak bangsa di sana juga memerlukan guru sebagai penyuluh kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. 


Link-link berkaitan:

Rujukan:
Mahyuddin Bin Arsat & Maizura Binti Mohd Yunus,  Satu Kajian Cabaran Guru Di Sekolah Pedalaman Daerah Muar. Johor, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia

No comments:

Post a Comment